Tuesday, June 13, 2017

YA ALLAH AMPUNI, RAHMATI MEREKA

Jenazah enam beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong dekat Ladang Risda Palong, kelmarin, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Jelawat, Bachok dalam satu liang lahad pada 3 pagi hari ini.

JENAZAH enam beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, dekat Ladang Risda Palong, selamat dikebumikan. FOTO Syamsi Suhaimi
Enam beranak yang maut ialah Wan Mohd Fauzi Wan Mohd Ibrahim,51; Masnoraida M Yusoff,45; Wan Muhammad Muhaimmin, 22; Wan Nor Athira, 18; Wan Mohd Ammar Haziq, 13 dan Wan Nur Aiesya, 7.

Sebelum ini, semua jenazah dituntut ahli keluarga kira-kira 5.20 petang semalam di Hospital Jempol, Negeri Sembilan selepas proses bedah siasat selesai.

Jenazah tiba di Masjid Naim, Jelawat. FOTO Syamsi Suhaimi

Selepas menempuh jalan hampir lapan jam, semua jenazah selamat tiba di Masjid Naim, Jelawat pada 1.06 pagi dengan empat van jenazah sebelum terus disembahyangkan.


Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan. Kira-kira 500 orang termasuk ahli keluarga, saudara mara, rakan dan penduduk kampung turut hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah.

Turut kelihatan anak arwah, Wan Muhamad Hazim, 19.


Harian Metro sebelum ini melaporkan, kemalangan dipercayai berlaku apabila treler dari arah Keratong menghala ke Bahau cuba memotong sebuah motosikal membawa tong aiskrim tetapi gagal sebelum ia membrek secara mengejut untuk mengelak menyebabkan treler dipandunya 'membuang' lalu memasuki laluan bertentangan.

Pada masa yang sama, sebuah Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan cuba mengelak daripada merempuh treler berkenaan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Vios.

Sebuah lagi kenderaan iaitu Proton Exora yang dinaiki enam beranak yang datang dari arah Bahau ke Keratong cuba mengelak Myvi yang terbabas dihadapannya tetapi gagal lalu terperosok di bawah treler berkenaan dan terbakar.


Sumber :
Harian Metro
13 Jun 2017

BACAAN YASSIN DAN TAHLIL


Bacaan Yassin dan Tahlil bagi mangsa trajedi Kemalangan Maut allahyarham Wan Muhammad Muhaimin sekeluarga.

TARIKH : 14 Jun 2017 (Rabu)
MASA : 10 pm
TEMPAT : Pusat Islam, Politeknik Muadzam Shah
Semua Warga PMS dijemput hadir.

Seluruh warga Politeknik Muadzam Shah dengan rendah hati mendedikasikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Wan Muhammad Muhaimin. Semoga Allahyarham sekeluarga ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.


AL-FATIHAH

Seluruh warga Politeknik Muadzam Shah amat berdukacita dengan ketentuan ini. Al-Fatihah, semoga tenang disana dan ditempatkan dikalangan mereka yang beriman.
Menurut sumber, salah seorang dari ahli keluarga yang meninggal tersebut adalah bekas pelajar PMS yang bakal berkonvo pada Ogos akan datang. Salam Takziah dari kami.